Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Paddy Abd. Halim, program tersebut bertujuan memberikan penerangan perlaksanaan SST kepada mereka yang akan didaftarkan dibawah Akta Cukai Jualan 2018 dan Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (SST).

Katanya, bacaan kedua bagi rang undang-undang akta itu akan dibaca buat kali kedua esok sebelum dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

“SST bakal dilaksanakan pada 1 September 2018 dengan hanya tinggal 25 hari sahaja lagi untuk perlaksanaanya.

“Justeru itu, kita diberi mandat untuk membuat pertemuan (engagement) dengan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Handholding SST di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Kastam Sarawak, Sharifah Halimah Tuanku Taha dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Razim Mohd. Noor.

Mengikut penerangan diberikan, barangan dikecualikan cukai SST adalah 10 kali lebih tinggi berbanding  cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Sebanyak 5,443 barangan dikecualikan cukai SST berbanding hanya 545 barangan ketika kadar sifar GST.

Selain itu, cadangan baharu bagi perkhidmatan yang dikenakan cukai seperti penerbangan domestik kecuali luar bandar, permainan (gaming), elektrik dan perkhidmatan  teknologi maklumat (IT).

Mengulas lanjut, beliau berkata, program seperti itu akan diadakan secara berterusan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negeri ini.

“Ianya bagi memberi pendedahan mengenai SST disamping bimbingan yang sewajarnya dalam tempoh peralihan GST ke SST,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE