Lebih menyedihkan masalah terbabit turut menghantui pengusaha ikan sangkar dan penternak tiram di sekitar Pulau Betong di sini apabila ternakan mereka mati menyebabkan kerugian antara RM100,000 hingga RM500,000.

Menurut seorang pengusaha ikan sangkar, Chong Yong Pef, 55, dia mengalami kerugian mencecah sete­ngah juta ringgit selepas 20,000 ekor ikan yang diternak mati hampir dua bulan lalu.

Katanya, masalah ber­kenaan dipercayai berlaku akibat pencemaran teruk di kawasan perairan sekitar Pulau Betong hingga ke Kuala Sungai Pinang di sini.

“Pendapatan saya terjejas teruk kerana dasar laut di kawasan ini diselaputi selut hitam yang busuk dan memberi kesan ke atas ternakan saya.

“Masalah ini mungkin berpunca daripada aktiviti tambak laut dan pelepasan sisa buangan kolam udang tidak jauh dari kawasan ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas tinjauan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad di sekitar kawasan perairan Balik Pulau di sini yang terjejas teruk akibat tanah selut sehingga menyebabkan pendapatan nelayan terjejas.

 

Tambah Yong Pef, masalah pencemaran itu amat membimbangkan kerana menjejaskan pendapatnya apatah lagi kini terpaksa menanggung kerugian setelah puluhan ribu ikan di­ternak mati.

Sementara itu, Ketua Unit Nelayan Pulau Betong, Arshad Omar berkata, masalah di sekitar perairan kawasan tersebut memberi kesan kepada kehidupan nelayan sejak lebih sebulan lalu.

Menurutnya, bukan sahaja ikan malah udang juga seakan-akan pupus sedangkan kawasan laut di sekitar Pulau Betong itu kaya dengan ikan dan udang.

“Namun dalam tempoh sebulan ini nelayan hanya dapat membawa balik beberapa ekor ikan dan udang sahaja sehingga menyebabkan ada yang kecewa dan tidak lagi bersemangat untuk turun ke laut,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Farid ketika ditemui pembe­rita mendesak pihak berkuasa terlibat terutamanya Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim), Jabatan Perikanan negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) segera menjalankan siasatan berhubung masalah di kawasan perairan ber­kenaan.

Tegas beliau, kajian menyeluruh perlu dilakukan segera demi kelangsungan hidup nelayan pantai yang bergantung hidup dengan hasil laut.

“Kita berharap pihak berwajib turun padang berjumpa de­ngan nelayan terlibat dan melihat sendiri keadaan yang berlaku,” kata­nya.