Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sasaran berkenaan bagi mencapai sasaran 3,000 buah KR1M 2.0 di seluruh negara menjelang tahun 2020.

“Di Lembah Klang kita telah bekerjasama sebagai rakan kongsi dengan KK Mart dengan menjual keperluan barang harian pelbagai jenama pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Kedai-kedai berkenaan akan dipamerkan menggunakan label khas dengan KK Mart KR1M 2.0 yang dikeluarkan bagi membezakan de­ngan kedai yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran Program Keusahawanan Pelajar (1st Step) anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Kolej Vokasio­nal Gombak dekat sini, hari ini.

Program julung kali diadakan ini yang mendapat kerjasama Bahagian Teknik dan Vokasional Kementerian Pendidikan bertujuan memupuk minat keusahawanan sejak di bangku sekolah.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan; Pengerusi SSM, Datuk Seri Jamil Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner dan Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pendidikan, Zainuren Mohd. Nor.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, sebagai permulaan sebanyak 20 buah KR1M 2.0 di Lembah Klang akan beroperasi hujung bulan ini di kedai serbaguna KK Mart.

“Sebelum ini, kita hanya menetapkan 50 barang keperluan sahaja dijual tetapi untuk pembukaan baharu ini kita akan menambahkan lagi barangan tersebut supaya pelanggan boleh membuat banyak pilihan.

“Harga barang-barang yang akan dijual lebih rendah berbanding pasaran kerana inilah konsep yang cuba kita bawakan supaya pelanggan lebih selesa untuk berbelanja di kedai-kedai KR1M,” katanya.