MASZLEE MALIK
MASZLEE MALIK

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, penawaran khas itu melibatkan penambahan sebanyak 1,000 kemasukan bagi sesi 2018/2019 dan sehingga kini terdapat sebanyak 89,891 permohonan telah diterima termasuk 20,040 permohonan daripada bukan bumiputera.

“Kerajaan Pakatan Harapan sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu semua pelajar yang layak dari segi akademik selain mereka yang mempunyai keperluan untuk dibantu berdasarkan tahap sosioekonomi masing-masing.

“Penambahan 1,000 tempat kepada pelajar bukan bumiputera yang terdiri daripada kaum Cina ini adalah tambahan khas dan tidak menjejaskan langsung kedudukan, kemasukan serta hak pelajar bumiputera yang sedia ada selama ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Maszlee, Program Matrikulasi itu merupakan satu program pra universiti yang disediakan kerajaan bagi pelajar bumiputera untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik (STEM) dan profesional.

“Sejak 1999, program ini telah melahirkan sebanyak 262, 957 pelajar untuk melanjutkan pelajaran masing-masing ke peringkat lebih tinggi dan bermula 2003, program ini juga telah memberi ruang sebanyak 10 peratus untuk pelajar bukan bumiputera bagi mewujudkan persaingan sihat,” katanya.

Mengulas mengapa penawaran khas tersebut tidak melibatkan pelajar kaum India, Maszlee memaklumkan, pelajar kaum India telah diberikan kuota yang mencukupi semasa era pemerintahan terdahulu dan kerajaan baharu sekarang membuka peluang kepada pelajar kaum Cina pula.-UTUSAN ONLINE