Helikopter yang membawa pemimpin kedua negara itu yang juga Menteri Dalam Negeri berlepas kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Dijangkakan rombongan kerja Timbalan Perdana Menteri tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Butterworth kira-kira jam 10.20 pagi ini.

Setakat jam 10 malam tadi (malam Ahad), tujuh maut akibat banjir yang melanda seluruh Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata seramai enam mangsa maut akibat lemas ditemui sekitar daerah Timur Laut.

Sebelum itu (Ahad), Ahmad Zahid mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mempolitikkan bantuan kerajaan persekutuan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang.

Beliau berkata kerajaan persekutuan komited membantu mangsa banjir biarpun negeri tersebut diperintah sebuah parti yang bukannya membentuk kerajaan persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan amat komited untuk bantu semua mangsa-mangsa berkenaan walaupun ada yang katakan ini bukan tanggungjawab kerajaan negeri sebaliknya kerajaan pusat.

“Jangan politikkan isu bantuan ini kerana mangsa banjir tanpa mengira warna parti politik dan kaum, setiap daripada mereka harus dibantu apatah lagi rakyat Malaysia yang prihatin membantu mangsa bencana di negara luar tentunya keutamaan juga harus diberikan kepada rakyat kita yang menjadi mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menghubungi beliau kali kedua hari ini kira-kira 12.41 tengah hari memaklumkan bantuan kerajaan persekutuan menerusi beberapa agensi telah diterima.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan saya menghulurkan bantuan biarpun negeri berkenaan kerajaan negeri yang tidak sama parti dengan Putrajaya namun atas rasa kemanusiaan dan tanggungjawab kepada rakyat keseluruhannya, saya telah arahkan agar mobilisasi anggota dan aset semua agensi penguatkuasaan ini dilakukan segera.

“Lim Guan Eng telah hubungi saya 12.41 tengah hari dah sahkan pasukan itu semua telah berada di Pulau Pinang sekarang,” katanya.

Ketika ditanya bentuk bantuan kepada mangsa banjir, Ahmad Zahid berkata peruntukan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dihulurkan kepada mangsa ketika ini.

“Kita menggunakan peruntukan NADMA yang saya sebagai Pengerusi, bantuan diberikan bukan sahaja dalam bentuk bantuan kewangan segera tetapi juga semua bentuk makanan, peralatan, perlindungan, perubatan serta lain-lain keperluan di dalam tempoh kurang enam jam apabila arahan itu dikeluarkan.

Sumber: Bacalah Malaysia