Pengarah YFA, Azmi Mohd. Nor menyerahkan bot yang masing-masing berukuran 4.3 meter itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) kampung tersebut di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Changgai, dekat sini.

Menurut Azmi, bot itu perlu disimpan di tempat yang selamat dan diuruskan oleh ahli jawatankuasa kampung atau disimpan di masjid mukim masing-masing untuk kegunaan awam terutama pada musim banjir.

“Sekurang-kurangnya tindakan awal boleh diambil bagi memindahkan penduduk yang tinggal di kawasan yang mudah ditenggelami air bersama-sama anggota pasukan penyelamat,” katanya ketika ditemui di PPS SK Changgai, dekat sini, hari ini.

Tambahnya, YFA juga turut menyalurkan sumbangan beras dan wang perbelanjaan kecemasan kepada 67 keluarga mangsa banjir di PPS itu dan sebelum itu, beliau juga menyampaikan bantuan yang sama kepada ketua keluarga mangsa banjir di PPS Wakaf Raja. - UTUSAN ONLINE