Tanpa mengira penat dan lelah, mereka berkampung siang dan malam selama lima hari berturut-turut dengan fokus mencari kesemua mangsa yang tertimbus dalam tragedi itu.

Cabaran lebih getir apabila lokasi tragedi iaitu di lereng bukit yang curam turut me­ngundang risiko berlakunya runtuhan susulan sekali gus meletakkan nyawa mereka sendiri dalam bahaya.

Begitu juga keadaan cuaca yang kadang-kala hujan lebat sehingga menyukarkan lagi usaha pencarian selain terdapat mangsa yang tertimbus sedalam 10 meter.

Walau bagaimanapun, semua cabaran dan kepayahan itu dihadapi anggota pasukan penyelamat berkenaan sebelum akhirnya berjaya menemukan kesemua sembilan mangsa yang tertimbus sekali gus menamatkan operasi pukul 5.50 petang semalam.

Bagi Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Moktar, beliau melahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan mencari dan menyelamat yang komited dalam operasi itu meskipun di sebalik risiko keselamatan masing-masing.

“Kita akui berdepan kesukaran khususnya pada penghujung misi terutama dalam memastikan keselamatan setiap anggota terlibat terjamin.

“Bagaimanapun, saya ber­syukur operasi ini berjaya tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya.

Dalam bencana tanah runtuh di tapak projek jalan raya berkembar di Bukit Kukus yang menimpa kontena rumah pekerja kira-kira pukul 2 petang, Jumaat lalu itu, seramai sembilan pekerja asing terkorban manakala empat yang lain cedera.