Air pasang
FENOMENA air pasang besar pada tahun 2016 dekat pantai barat di beberapa kawasan di bahagian Utara pantai Barat Selangor menyebabkan banyak rumah yang terletak dikawasan berhampiran dinaiki air. - UTUSAN ONLINE/Media sosial

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Roslan Wahab berkata, bermula hari ini hingga 13 September, air pasang besar mula melanda pesisir negeri-negeri seperti Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Katanya, fenomena sama dijangka berulang lagi pada 23 hingga 28 September dan berterusan pada 8 hingga 12 Oktober, 22 hingga 27 Oktober, 6 hingga 11 November serta 21 hingga 26 November depan.

“Secara ringkasnya, setiap bulan akan ada dua kali fenomena air pasang besar. Berikutan itu, kita minta penduduk di kawasan terlibat terutama di pesisir pantai supaya lebih berwaspada dan bersedia keluar dari kawasan pantai jika paras air meningkat.

“Pihak APM sudah bermesyuarat dan kita memutuskan mengarahkan anggota untuk turun padang memantau keadaan di setiap kawasan terbabit bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat dan Penyampaian Watikah Lantikan Pegawai Bersekutu APM Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah APM negeri, Zainuddin Hussin dan Pengarah APM Wilayah Persekutuan, Md. Anuar Jasmin.

Dalam majlis tersebut, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad menjadi salah seorang daripada sembilan penerima Pingat Bakti APM kerana sumbangan signifikan beliau dan POKB terhadap pasukan itu sejak beberapa tahun lalu.

Selain itu, seramai 10 individu lagi menerima watikah lantikan dan ditauliahkan pangkat Kapten Bersekutu (PA), Mejar Bersekutu (PA), Leftenan Bersekutu (PA) serta Kolonel Bersekutu (PA). - UTUSAN ONLINE