Ibu penumpang tragedi itu, Tan Tuan Lay, 58, berkata, sekalipun tragedi tersebut sudah lama berlalu, dia masih menyimpan hasrat agar dapat berjumpa semula de­ngan anaknya, Chew Kar Moi, 31.

“Walaupun sudah lama, saya berharap dengan usaha pihak kerajaan meneruskan pencarian itu, dapat juga keluarga saya mengetahui apa sebenarnya terjadi kepada anak saya,” katanya ketika ditemui di Kerpan di sini hari ini.

Bagaimanapun dalam pada itu, suaminya, Chew Kok Sia, 65, sudah berputus asa menanti khabar gembira tentang kejadian tersebut.

“Kami hanya menanti dan tidak boleh lakukan apa-apa tetapi kami terima dia sudah tiada,” katanya.

Anak pasangan tersebut, Chew Kar Moi yang bekerja sebagai pegawai bank di ibu negara menaiki pesawat MH370 itu ke Beijing atas urusan kerja.

Di Jitra, Jee Teik Min, 80, berharap suatu hari nanti pencarian yang diteruskan itu akan membuahkan hasil dan mengetahui kejadian sebenar yang menimpa anaknya, Jee Jing Han, 41.

“Tiap-tiap hari saya teringatkan dia walaupun sudah empat tahun dia hilang, saya tahu pesawat tersebut termasuk anak saya akan ditemui satu hari nanti,” katanya.