Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi memberitahu, mangsa, M.Mardi, 32, yang berasal dari Jawa Timur,  maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurut beliau, mangsa yang bekerja di sebuah kilang memproses kayu dikatakan dalam perjalanan pulang dari bandar Paka menuju ke kediamannya di Kampung Tebing Tembah.

Tambah beliau, mangsa dikatakan menunggang motosikal secara melawan arus  dan sertibanya  di satu kawasan pusingan U,  mangsa secara tiba-tiba melintas jalan.

“Sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita  berusia 24 tahun yang datang dari arah bertentangan  tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal itu, dan mangsa tercampak sejauh beberapa meter ke tengah jalan,” ujarnya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan maklumat berkenaan mangsa kerana ketika kejadian mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan.

Menurut beliau, kes akan disiasat dibawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat dan urusan pengebumian manakala pemandu wanita tersebut telah dibawa ke unit kecemasan hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar. - UTUSAN ONLINE