MASRI ABDULLAH
MASRI ABDULLAH 

Dalam kejadian pada pukul 10.25 malam itu, mangsa, Masri Abdullah, 60, yang menunggang motosikal dipercayai terlebih dahulu terbabas selepas kenderaannya itu hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dipercayai dalam perjalanan dari arah Taman Nilam menuju ke Laguna Merbok.

“Berdasarkan siasatan awal, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa terbabas di bahu jalan sebelah kanan selepas hilang kawalan kerana disyaki menunggang laju.

“Pada masa sama, sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah sama dipercayai melanggar mangsa yang ketika itu masih terbaring di tengah jalan lalu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia serta-merta akibat rempuhan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Adzli, siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati jalan tersebut berada dalam keadaan gelap dan tidak berlampu selain kawasan selekoh dan licin akibat hujan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat bagi mengetahui punca-punca kematian.

“Bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan yang berusia 23 tahun tidak cedera dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Sementara itu, jenazah Allahyarham Masri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Amin Sungai Layar, di sini. -UTUSAN ONLINE