Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Esah Salleh, 72, turut dilaporkan mengalami sesak nafas manakala dua anaknya, Yunus Taib, 40, dan Fatimah, 57, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dari arah Kampung Bukit Gemuruh menghala ke Kuala Berang dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh Proton Wira yang dinaiki tiga beranak berkenaan.

Katanya, pemandu Perodua Myvi, Noorrulstilla Ismail, 36, yang merupakan pekerja sebuah pasar raya turut mengalami cedera ringan. 

"Semasa melalui tempat kejadian, kedua-dua kenderaan terbabas ke dalam longkang. 

"Bagaimanapun, kesemua mangsa selamat dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut," katanya di sini.

Menurut Mohd. Adli, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - UTUSAN ONLINE