Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Ramli Laboh, 60, dari Kampung Logan Piasau Tanjung meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki warga Brunei berusia 43 tahun tiba-tiba hilang kawalan lalu bertembung dengan Isuzu Dimax dipandu mangsa di laluan bertentangan.

"Impak rempuhan kuat itu menyebabkan kenderaan warga Brunei itu berpusing beberapa kali sebelum terbalik di bahu jalan.

"Kenderaan mangsa pula remuk teruk di bahagian depan mengakibatkan mangsa maut disebabkan mengalami kecederaan parah di kepala," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson berkata, penumpangnya juga mengalami kecederaan parah pada muka dan patah tangan kiri, namun pemandu warga Brunei itu pula hanya mengalami kecederaan ringan.

"Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Limbang untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya. - UTUSAN ONLINE