Mangsa, Book Shin Hua, 63, yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan kepala serta tersepit di dalam kenderaannya.

Bagaimanapun, seorang pemandu treler berusia dalam lingkungan 30 tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 3.15 petang ketika kereta yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai.

Katanya, ketika mangsa sampai di lokasi kejadian, kereta yang dipandunya dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler berkenaan.

“Akibat kejadian itu, kereta mangsa terbalik dalam longkang sehingga menyebabkan mangsa tersepit di dalamnya.

“Sepasukan anggota bomba juga telah bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Jelasnya lagi, akibat kemalangan itu turut berlaku kesesakan dari kedua-dua laluan kira-kira setengah jam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE