Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu mangsa Ibrahim Ali, 60- an, meninggal dunia di tempat kejadian selepas gagal diselamatkan kerana api marak.

Menantu mangsa, Haslizan Yacob, 31, berkata, semasa kebakaran itu berlaku dia bersama dua anaknya berumur setahun dan tiga tahun berada di ruang tamu manakala bapa mertuanya berada di dalam bilik.

“Tiba-tiba saya melihat api sedang terbakar di bilik bapa mentuanya dan api berkenaan turut menyambar tilam serta sofa yang berada berdekatan.

“Saya begitu panik berikutan api terlalu cepat merebak dan saya keluar daripada rumah untuk menyelamatkan dua anak saya,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, dia menjerit meminta pertolongan daripada jiran-jiran berdekatan untuk menyelamat bapa mentuanya.

Jelasnya, orang ramai telah berusaha masuk ke dalam rumah kembali untuk menyelamatkan bapa mentuanya itu namun gagal berikutan api terlalu besar.

Haslizan berkata, suaminya, Mohd. Norfarizal Ibrahim, 34, - anak mangsa - yang bergegas pulang dari kerja tidak sempat juga menyelamat bapanya.

“Suami saya sedaya upaya untuk masuk kedalam rumah untuk menyelamat ayahnya namun tidak dapat berbuat demikian.

“Dia telah mengalami kecederaan pada tangan dan dahi kemudiannya dibawa ke hospital,” ujarnya.

Sementara itu Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fakri Mazlan dari Balai Bomba Pengkalan Chepa berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 6.28 petang.

Katanya, kebakaran itu telah melibatkan lima buah rumah separuh kekal berkonsep setinggan dan seorang mangsa meninggal dunia serta seorang mengalami kecederaa.

“Operasi ini melibatkan 36 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Kota Darul Naim menggunakan empat buah jentera.

“Sehingga kini kami masih melakukan pemeriksaan lanjut,” katanya. - UTUSAN ONLINE