Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, Chong Seng Teik, 65, sedang memandu kereta jenis Honda Accord bersama isteri, Teo Kween Lan, 62, dari Taman Seremban menghala ke Seremban Gateway di sini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd. Syazwan Saidy berkata, mangsa tiba-tiba mengalami sakit dada dan batuk berdarah lalu pengsan.

"Isteri mangsa sempat berpaut pada stereng kereta, namun kenderaan itu terbabas lalu melanggar tiang lampu sebelum terjunam di kawasan semak di tepi jalan.

"Mangsa yang mengalami kecederaan dalaman dan masalah pernafasan telah dibawa dengan ambulans ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), namun disahkan meninggal dunia," katanya di sini hari ini.

Mohd. Syazwan berkata, seramai tujuh anggota bomba dan sebuah jentera dikerahkan memberi bantuan selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.50 pagi dan tiba lapan minit kemudian.

Katanya, bomba mengambil masa kira-kira lima minit bagi mengeluarkan mangsa dan memberi bantuan pernafasan sebelum diserahkan kepada pihak HTJ untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE