Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Hasiah Yaakob, 61, yang menaiki kereta tersebut dipandu suaminya, Saibi Salleh, 75, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Cenderawasih di Pekan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Amran Sidek berkata, kemalangan berlaku ketika treler yang membawa muatan batu kelikir tersebut dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Pasir Gudang, Johor.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu treler berkenaan cuba memotong sebuah kenderaan dihadapannya namun secara tiba-tiba kereta tersebut membelok masuk ke simpang sebelah kanan menghala ke Kampung Cenderawasih.

"Pemandu treler membrek tetapi kenderaan itu merempuh sebelah kanan kereta berkenaan sebelum menyeretnya sejauh 60 meter ke kanan jalan," katanya di sini hari ini.

Menurut Amran, ekoran kejadian berkenaan, Hasiah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya patah kaki kanan.

Katanya, pemandu treler itu yang berusia 50 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Jalan di lokasi kejadian sedang dinaik taraf dengan jalan lurus satu lorong dua hala dan garisan tengah bertanda.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - UTUSAN ONLINE