Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, mangsa, Ramlah Abdul, 73, dari Kampung Bukit Lalang, di sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu melibatkan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang seorang lelaki dari arah Butterworth yang kemudian telah melanggar mangsa yang sedang berjalan kaki.

“Penunggang motosikal dipercayai tidak sempat menekan brek motosikal kerana jarak yang terlalu dekat dan terus melanggar mangsa. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Adzli, mayat mangsa telah dihantar Ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini bagi tujuan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

“Siasatan lanjut mengenai kemalangan itu masih lagi dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, jenazah Ramlah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Pulau Sepom, Tikam Batu di sini, kira-kira pukul 12 tengahari hari ini. - UTUSAN ONLINE