Mayat Abdullah Hamat, 71, ditemukan oleh penduduk kampung kira-kira pukul 5.20 petang tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Zawawi Yusoff berkata, seramai 11 anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.28 petang.

"Setibanya di tempat kejadian terdapat seorang mangsa lelaki berada di tebing sungai dalam keadaan belakang kepala cedera dan tidak bernafas.

"Pasukan bomba melalui pasukan perubatan bomba unit EMRS berusaha menyelamatkan mangsa dengan membuat bantuan pernafasan kecemasan (CPR) hampir satu jam.

"Bagaimanapun, setelah pihak hospital sampai di tempat kejadian mangsa telah disahkan meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian. - UTUSAN ONLINE