Difahamkan, mangsa, Abu Bakar Udoh, 73, dari Kampung Jawa dipercayai keluar memancing bersendirian di Sungai Kuala Muda, Sungai Petani sejak awal pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nor Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada kira-kira pukul 10.01 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 13 minit kemudian.

“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan di darat dan saksi yang melihat kejadian tersebut diminta tampil untuk memberi maklumat. Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) juga bersedia untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat.

“Bot aluminium dari Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu dan Sungai Petani juga akan digunakan untuk menyusuri sungai di mana mangsa disyaki hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE