Kejadian menimpa Saliha Sheikh Mohamed, 70-an itu disedari apabila seorang pelajar yang menyewa bilik rumah mangsa pulang ke rumah kira-kira pukul 6 petang.

Menurut cucu mangsa yang tidak mahu dikenali, pelajar tersebut pulang ke rumah dan mendapati pintu rumah dalam keadaan berkunci namun tidak sepenuhnya.

Katanya, pelajar itu kemudian masuk ke rumah dan mendapati mangsa terbaring di dalam bilik air dalam keadaan berlumuran darah sebelum melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Sementara itu, menantu mangsa, Noriza, 41, berkata ibu mentuanya mengalami kecederaan di kepala dan terdapat kesan koyakan di cuping telinga selain barang kemas seperti gelang dan anting-anting hilang dipercayai disamun.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 7.18 malam.

Ujarnya, siasatan awal mendapati tiada kesan pecah masuk ditemukan dan mangsa tidak mengalami kecederaan luaran yang serius namun siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk proses bedah siasat," katanya.-UTUSAN ONLINE