Mayat warga emas berkenaan, Tiu Ah Wang, 84, ditemukan oleh penduduk kampung yang melakukan gerakan mencari mangsa kira-kira pukul 1 petang tadi.

Anak mangsa, Tiu Ah Sung, 28, berkata, ayah sememangnya gemar mandi di kawasan tali air tersebut yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

"Pada mulanya ayah keluar daripada rumah untuk berbual bersama rakan-rakannya tidak jauh daripada kawasan tali air tersebut. Selepas itu, ayah meminta kain basah daripada rakannya itu kerana ingin mandi di kawasan berkenaan.

"Tidak sampai 10 minit berada di dalam tali air tersebut, ayah didapati sudah hilang. Manakala panggilan daripada rakan-rakannya yang berada berhampiran sudah tidak disahut lagi," katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Nik Azlan Nik Ibrahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - UTUSAN ONLINE