Mayat Hamidah Hussin dijumpai orang awam pada pukul 7.40 malam dalam keadaan terapung di dalam longkang tersebut, kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, siasatan pihaknya mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

Katanya, hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas.

"Mangsa yang tinggal dan dijaga anak perempuannya itu mempunyai masalah nyanyuk dan dia sering memberitahu mahu keluar rumah untuk berjumpa rakan-rakannya.

"Pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan wanita itu Sabtu lalu sebelum menemui mayatnya semalam yang tersangkut pada batu longkang sawah sedalam satu meter dengan arus deras," katanya di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE