Mayat Siew See Hoy, 80, yang berkerja sebagai penghantar tepung kepada peniaga restoran di terminal itu ditemukan oleh pekerja pembersihan kira-kira pukul 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mayat lelaki itu ditemukan dalam keadaan terlentang dan berdarah di kepala.

“Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 11.30 pagi daripada anggota polis bantuan yang bertugas di Melaka Sentral.

"Pekerja pembersihan terminal itu curiga apabila seorang lelaki berada dalam tandas terlalu lama lalu selepas membuka pintu tandas itu, warga emas tersebut ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, petang tadi.

Menurut Afzanizar, pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian membuat pemeriksaan dan mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Beliau berkata, barangan peribadi warga emas berkenaan iaitu dompet dan telefon bimbit masih berada di sisi si mati ketika ditemukan.

Katanya, mayat warga emas itu dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - UTUSAN ONLINE