Dalam kejadian itu, Rosnani Baharom, 61, berjaya diselamatkan sebelum dibawa dengan ambulans Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.


Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri dalam satu kenyataan memberitahu, dua lagi ahli keluarga warga emas tersebut yang berada dalam rumah itu semasa kejadian terselamat. 


Menurut kenyataan itu, pihak bomba menerima panggilan pukul 11.05 malam sebelum lapan anggota dari Balai Bomba Tebrau dan Skudai dikejarkan ke tempat kejadian.


“Operasi memadam kebakaran rumah banglo dua tingkat itu dapat dikawal sepenuhnya pukul 2.49 pagi. Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” demikian menurut kenyataan itu yang dikeluarkan sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE