Dalam kejadian pada pukul 12.10 tengah hari itu, mangsa yang maut ialah Wang Bing Zhong, 70, berasal dari Beijing, manakala cucunya, Liu Yanci, 4, cedera di bahagian kepala.

Menurut Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim, kejadian dipercayai berlaku ketika warga emas itu dikatakan cuba menyelamatkan cucunya yang secara tiba-tiba melintas jalan semasa melihat haiwan berkenaan.

“Kedua-dua mereka dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti kerana pemandunya terus beredar daripada tempat kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 12.45 tengah hari ketika menerima rawatan di Hospital Langkawi manakala kanak-kanak itu masih dirawat di hospital sama,” katanya, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Iqbal, usaha mengesan kenderaan terbabit sedang giat dilakukan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Katanya, polis telah memaklumkan kejadian terbabit kepada Kedutaan China dan Polis Antarabangsa (Interpol).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - UTUSAN ONLINE