Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, insiden malang menimpa mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu dilaporkan kepada bomba pada pukul 9.38 pagi.

Katanya, sebaik sahaja menerima laporan, sepasukan anggota segera dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Pihak bomba bertindak membuat penyelamatan menggunakan kaedah pencarian dalam air di sungai sedalam lebih kurang dua meter.

“Kereta mangsa berjaya ditemukan dan ditarik keluar dari sungai pada pukul 10.50 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang masih berada dalam kenderaan itu bagaimanapun didapati sudah meninggal dunia dipercayai lemas dan mayatnya sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.