Mangsa yang dikenali sebagai Rania, 26, berkata, dia terbangun daripada tidur kira-kira pukul 6 pagi dan melihat langit gelap serta awan hitam seolah-olah membawa hujan yang lebat ke kawasan itu.

Katanya, dia mengejutkan tiga rakan serumahnya dan mereka bertiga duduk di kerusi di ruang tamu kerana terdengar bunyi seperti bumbung rumahnya di­terbangkan angin.

Katanya, selepas itu bumbung rumah mula terkopak dan secara tiba-tiba bongkah batu-batan daripada struktur bumbung itu jatuh betul-betul di sebelahnya.

“Saya memang takut apabila melihat bumbung terbang dan struktur batu di bumbung jatuh ke lantai rumah serta sebahagian besarnya jatuh ke bawah rumah pangsa empat tingkat ini.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya rasa tidak sampai lima minit angin kuat itu datang menerbangkan bumbung empat unit rumah di sini,” katanya yang tinggal di rumah yang dise­wa oleh ejen kilang tempat dia bekerja sejak setahun lalu.

Rania memberitahu, mereka berempat tidak berani keluar dari rumah dan berlindung di dalam bilik sehingga keadaan benar-benar reda sebelum memeriksa runtuhan itu yang turut menimpa beberapa buah motosikal di tingkat bawah.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pengurusan rumah pangsa berkenaan, Huan Boon Hee berkata, kejadian tersebut kali pertama berlaku dan dia telah membuat laporan di Balai Polis Simpang Ampat manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat juga telah datang memeriksa kerosakan yang berlaku.

Katanya, dia juga telah memaklumkan kejadian tersebut kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai dan berharap ada pihak menghulurkan bantuan segera untuk membaiki kerosakan yang berlaku.