Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, Nordiah Juhari, 45, yang membonceng motosikal jenis Honda EX5 maut ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang, manakala suaminya, Mohd. Zuha Seman, 47, mengalami pecah tempurung lutut kanan.

Sementara itu, pemandu wanita yang memandu kereta Perodua Myvi, Normazila Faudzi, 28, patah tangan kanan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, mengikut siasatan awal polis, ketika kejadian pasangan suami isteri yang tinggal di Kampung Rahmat di sini dalam perjalanan untuk menoreh getah.

Katanya, dalam masa sama, ketika sampai di tempat kejadian, pemandu wanita yang datang dari arah Jeli Ke Gua Musang dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar pasangan suami isteri itu.

“Kereta yang dipandu wanita yang bekerja sebagai kerani di Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang itu turut masuk ke dalam parit berhampiran.

“Difahamkan wanita yang berasal dari Kampung Padang Jelapang Lemal, Pasir Mas dalam perjalanan ke tempat kerjanya di bandar ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, mangsa yang cedera juga telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE