Difahamkan semasa kejadian, mangsa Rohanizalina Sabudin,30, yang memandu kereta jenis Proton Waja merempuh bahagian belakang lori selepas pemandunya mengelak ke kiri jalan daripada bertembung dengan kereta mangsa.

Ketua Polis daerah, Superintenden Azry Akmar Ayob berkata, kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Lipis manakala lori berkenaan dari arah bertentangan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa yang dipercayai memotong sebuah kenderaan lain memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian tayar belakang sebuah lori.

“Akibat kejadian, mangsa tersepit di dalam kenderaan sebelum meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Lipis,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azry Akmar, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pemandu kereta yang memotong dan berada di laluan bertentangan sehingga menyebabkan kemalangan. - UTUSAN ONLINE