Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa yang memandu kereta Perodua Myvi disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa keluar dari susur stesen minyak Petronas bertindak mengubah haluan memasuki lorong kanan sebelum dilanggar sebuah lori di lorong tengah.

“Selepas itu, mangsa dipercayai tertekan pedal minyak dan hilang kawalan lalu melanggar pembahagi tengah jalan sebelum melanggar pula pembahagi kiri jalan mengakibatkan kereta itu berpusing beberapa kali sebelum mangsa tercampak keluar melalui tingkap bahagian pemandu.

“Kereta mangsa yang masih bergerak kemudian menyeret mangsa sejauh 10 meter sebelum berhenti. Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir memberitahu, mayat wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan telah dituntut oleh waris.

“Ekoran kemalangan tersebut, polis trafik dan anggota bomba mengambil masa kira-kira sejam lebih untuk mengawal keadaan lalu lintas di tempat kejadian.

“Semua kenderaan yang terlibat dengan kemalangan ditahan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut dijalankan dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE