Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, mangsa, Tang Sin Xiang, 41, turut diheret lori yang datang dari arah bertentangan itu sebelum merempuh sebuah kedai makan sehingga runtuh.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, mayat mangsa bersama motosikal ditemukan di bawah sisa rempuhan kedai makan tersebut.

Beliau berkata, anak mangsa yang belum dapat disahkan identitinya turut ditemukan di bawah runtuhan tersebut bagaimanapun hanya mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

“Mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 100 memiliki lesen memandu B2, beralamat di Kampung  Gong Keding, dekat sini, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari jalan Semerak menghala ke Pasir Puteh.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditungang mangsa dari arah Semerak menghala ke Pasir Puteh telah membelok ke kanan secara tiba-tiba.

“Tindakan tersebut menyebabkan lori yang datang arah bertentangan gagal mengelak dan terus bertembung dengan mangsa sehingga mengheretnya serta merempuh sebuah kedai makan yang terletak pada kawasan selekoh,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Abdul Rozak berkata, pemandu lori yang berasal dari Kampung Kayu Kelat, Besut, Terengganu, tidak mengalami kecederaan.

Katanya, kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pemilik kedai makan terbabit, Amaran Nani, 59, berkata, mereka sekeluarga bernasib baik kerana ketika kejadian kesemuanya berada di bilik belakang.

"Nasib baik kami tidak buka kedai hari ini kerana kawasan rempuhan itu sebahagiannya adalah tempat meletak lauk pauk dan tempat duduk pembeli.

"Ini adalah kali kedua kedai kami dirempuh. Beberapa tahun lalu sebuah lori ais merempuh masuk ke dalam kedai namun tiada kemalangan jiwa berlaku seperti hari ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE