Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Darwilis Abdul Malik, 55, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kereta Proton Waja yang dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Kereta yang datang dari arah Batang Kali menuju ke Kerling itu kemudian bertembung dengan kereta Perodua Kancil dinaiki mangsa bersama seorang lelaki, Hairuddin Maaruf, 63, yang kebetulan sedang berada di laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Bak Phai, kedua-dua mangsa yang cedera parah dibawa ke hospital yang sama untuk menerima rawatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE