Dalam kejadian pukul 1.40 petang itu, mangsa yang berusia 23 tahun dan berasal dari Bahau, Negeri Sembilan, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menaiki Produa Myvi bersama kakak dan rakannya, masing-masing berusia 25 tahun dalam perjalanan dari Simpang Pulai, Perak menuju ke Petaling Jaya, Selangor dekat sini.

"Setibanya di lokasi, kenderaan tersebut mengubah laluan ke kiri lebuh raya sebelum hilang kawalan dan terlanggar penghadang jalan.

"Mangsa yang duduk di belakang telah tercampak melalui tingkap belakang sebelah kanan dan jatuh di lorong tengah sebelum digilis sebuah Proton Saga BLM," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Azman menambah, sebuah bas yang berada di belakang kereta dinaiki mangsa tidak sempat mengelak dan merempuh kenderaan tersebut.

Ujarnya, mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya. - UTUSAN ONLINE