Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, Maznah Moh, 39, dipercayai diserang buaya setelah mayatnya yang dijumpai penduduk kampung mempunyai kesan gigitan reptilia berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kes menimpa mangsa di sungai tersebut pada pukul 12.15 tengah hari.

“Seorang saksi iaitu penduduk kampung memaklumkan sebelum kejadian, mangsa berseorangan menjalankan aktiviti menjala di sungai itu kira-kira pukul 9 pagi.


“Namun, penduduk kemudiannya hanya menemukan perahu yang digunakan oleh mangsa sedang hanyut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, sejurus selepas itu, penduduk kampung bertindak mencari mangsa dan menemukan mayatnya kira-kira pukul 12 tengah hari.

Katanya, mangsa disyaki telah dibaham buaya kerana terdapat kesan gigitan reptilia pada tubuhnya. 

Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa pulang ke rumahnya untuk tindakan lanjut.