Mangsa, Nur Hana Shahirah Mohd. Rashid, 23, dikatakan ke bengkel berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari untuk meminta wang dari rakannya yang merupakan pemilik premis.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Amran Sidek berkata, menurut rakan lelakinya yang berusia 53 tahun itu, mangsa enggan pulang lalu tertidur di dalam sebuah bilik di bengkel berkenaan.

“Kira-kira pukul 3.30 petang, pemilik bengkel keluar sebentar dan mengunci premisnya kerana bimbang kehilangan barang niaga berikutan mangsa tertidur.

“Ketika berada di bandar, pemilik bengkel telah menerima panggilan telefon dari abang mangsa mengenai kebakaran tersebut dan  bergegas pulang untuk menyelamatkan mangsa,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Amran, mangsa yang tidak bekerja ditemukan pengsan dipercayai terhidu banyak asap dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu selepas diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Mangsa ditemukan di lantai dengan sebahagian badannya berada di bawah katil dan segera diberi bantuan pernafasan oleh pihak JBPM sebelum dibawa ke Hospital Pekan dekat sini untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian dengan bedah siasat mendapati mati mengejut manakala rakannya pula terpaksa direman sehingga 28 Disember ini kerana positif dadah ketika ujian air kencing dijalankan,” jelasnya.

Tambahnya, hasil laporan bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kira-kira pukul 12 tengah hari ini mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas (asap) selain kecederaan di kepala.

Mayat telah dituntut oleh keluarganya dan dikebumikan di tanah perkuburan Makam Condong Pekan dekat sini selepas solat Asar. - UTUSAN ONLINE