Difahamkan kejadian berlaku apabila kedua beranak tersebut dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Ladang Bandenoch, Batu 7, Binjul, Kuala Ketil, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Shariffuddin Yusuf berkata, kejadian berlaku pada pukul 6.50 pagi di Jalan Batu 7, Kejai-Malau, Kuala Ketil.

Kedua mangsa, Noor Asimah Che Su, 52, yang membonceng motosikal jenis Honda C100 maut di tempat kejadian manakala anaknya, Sahrizan Zainol, 36, yang menunggang motosikal itu cedera.

“Mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Ladang Bandenoch, tiba di tempat kejadian melanggar sebatang pokok yang tumbang di tepi jalan lalu terbabas,” kata Shariffuddin di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kedua mangsa dari arah simpang empat lampu isyarat Bt 7  Jalan Kulim/ Baling/Gerik ke Ladang Bukit Hijau Malau.

Katanya, penunggang yang cedera mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Baling dan mangsa dalam keadaan stabil.

“Manakala ibu mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Baling untuk bedah siasat pada pukul 11 pagi ini dan sebab kematiannya kerana kecederaan parah di bahagian kepalanya,” kata Shariffuddin.

Katanya, ketika kejadian keadaan keadaan cuaca elok dan keadaan jalan raya selekoh dengan garisan putih berkembar di tengah jalan dan jalan sedikit curam.

Siasatan masih diteruskan untuk mengesan saksi bebas di tempat kejadian untuk membantu siasatan dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE