NOOR ASIMAH

Difahamkan, kejadian berlaku ketika dua beranak tersebut dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Ladang Bukit Hijau, Kuala Ketil.

Ketua Polis daerah, Su­perintenden Shariffuddin Yu­suf berkata, kejadian pada pukul 6.50 pagi itu menyebabkan mangsa, Noor Asimah Che Su, 52, yang membonceng motosikal Honda C100 maut di tempat kejadian manakala anaknya, Sahrizan Zainol, 36, yang menunggang motosikal itu cedera.

“Mangsa dalam perja­lanan ke tempat kerja di Ladang Bandenoch tiba di tempat kejadian melanggar sebatang pokok yang tumbang di tepi jalan lalu terbabas,” katanya di sini hari ini.

Menurut Shariffuddin, ha­sil siasatan mendapati kedua mangsa dari arah simpang empat lampu isyarat Batu 7 Jalan Kulim/Baling/Gerik ke Ladang Bukit Hijau Malau.

Ujarnya, penunggang yang cedera mendapat ra­watan di Unit Kecemasan Hospital Baling dan mang­sa dalam keadaan stabil.

“Manakala ibu mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Baling untuk bedah siasat pada pukul 11 pagi dan sebab kematiannya kerana kecederaan parah di bahagian kepalanya,” katanya.

Shariffuddin membe­r­i­­tahu, ketika kejadian ke­adaan cuaca elok dan keadaan jalan raya selekoh dengan garisan putih berkembar di te­ngah jalan dan jalan sedikit curam.

Tambahnya, siasatan masih diteruskan untuk mengesan saksi bebas di tempat kejadian untuk membantu siasatan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.