Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu, mang­sa, Munipah Marzuki, 24, bersama seorang kanak-kanak lelaki dipercayai mem­punyai pertalian sauda­ra dengannya, Mohammad Hai­man Abdullah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan berlaku semasa tujuh sekeluarga itu menaiki sebuah kenderaan jenis Toya­ta Innova dalam perjalanan dari Kampung Jepak menuju ke pusat bandar.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam parit kon­krit di bahu jalan berkenaan.

“Dalam insiden itu, Munipah tercampak keluar dari kenderaan dan terhantuk kepalanya pada parit kon­krit, manakala Mohammad Haiman pula maut akibat mengalami kecederaan parah di kepalanya ekoran terhantuk pada tepi Toyota Innova berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ujar Alexson, lima mangsa lain yang berusia dua hingga 54 tahun pula hanya me­ngalami kecederaan ringan.

Tambahnya, mayat ke­dua-dua mangsa sudah dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.