Video IHSAN BOMBA

Ketua Bomba Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, mangsa, Nigel Bevan, 71, dari United Kingdom, meninggal dunia pada kira-kira pukul 2.30 pagi ini selepas 13 jam bertarung nyawa akibat mengalami pendarahan teruk di kepala dan patah tulang belakang.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa bersama sekumpulan pendaki lain memulakan perjalanan menaiki gunung itu se­awal pukul 6 pagi dan tiba di puncak pada kira-kira pukul 9.30 pagi.

“Selepas kira-kira sejam berada di puncak, kumpulan pendaki dinasihatkan memulakan perjalanan turun sebelum tengah hari bagi mengelak kesulitan jika hari gelap dan mereka turut diminta berhati-hati ke­rana keadaan cuaca agak berkabus dan hujan renyai waktu itu.

“Selepas 300 meter perjalanan turun dari puncak iaitu pada kira-kira pukul 10.30 pagi, mangsa tiba-tiba tergelincir dan terjatuh mengakibatkan kepalanya berdarah teruk manakala tulang belakangnya patah,” katanya ketika dihubu­ngi di sini hari ini.

Poh Kiong berkata, usaha mendapatkan bantuan sukar kerana masalah komunikasi sehinggalah pendaki lain berjaya menghubu­ngi pihak pengurusan Taman Warisan Mulu yang kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak bomba.

Menurutnya, sebaik sahaja menerima laporan, sepasukan 21 anggota diarahkan ke tempat kejadian dan tiba pada pukul 7 petang dan mendapati mangsa masih sedar serta boleh bercakap.

Katanya, mangsa kemudian dibawa turun ke Kem 5 yang mengambil masa perjalanan lapan jam oleh pasukan penyelamat bermula pada pukul 8.30 malam tetapi pada kira-kira pukul 2.30 pagi, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, mayat mangsa tiba di Kem 5 pada pukul 6 pagi hari ini dan diterbangkan ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut pada pukul 8.30 pagi.

Kejadian menimpa pelancong Britian itu merupakan kes kedua pendaki maut akibat terjatuh semasa mendaki Gunung Mulu dan insiden pertama membabitkan pendaki Singapura pada 1990-an.