Mangsa, Nur Afini Roslan, 14, yang merupakan seorang remaja aktif bersukan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecede­raan parah, manakala dua pelajar lelaki turut cedera.


Video Oleh ABD. RAZAK AID

Ketika kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, mangsa dan beberapa pelajar lain berada di padang untuk menjalani latihan bagi hari sukan sekolah yang dijadual diadakan esok.

Ketua Polis daerah, Supe­rintenden Hamazah Ab. Razak berkata, siasatan awal mendapati bilah pisau mesin rumput itu tercabut dari traktor yang sedang menjalankan kerja-kerja memotong rumput lalu melantun ke arah mangsa.

Menurutnya, dua pelajar lain, Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd. Farhan Reza Badrol Hesam, 13, masing-masing cedera di bahagian belakang kepala dan telinga akibat terkena peralatan tersebut.

“Kedua-dua pelajar telah di­bawa ke Klinik Kesihatan Gemas untuk rawatan lanjut. Pihak polis telah menahan pemandu traktor tersebut yang berusia 26 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 304 Kanun Ke­seksaan,” katanya di sini hari ini.

Jenazah Nur Afini dibawa ke Hospital Tampin sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban pada pukul 3.45 petang bagi proses bedah siasat dan dijangka dikebumikan di Su­ngai Kelamah di sini malam ini.

Turut mengiringi jenazah ialah bapanya, Roslan Samad, 55, yang kelihatan sedih dan enggan ditemu bual wartawan.

Sementara itu, Pengerusi Ja­watankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli ketika ditemui di HTJ memberitahu, Ja­batan Pendidikan Negeri Sembilan akan menyiasat secara terperinci kejadian itu.

Ujarnya, ini termasuk meneliti jenis aktiviti yang berlangsung di padang sekolah berkenaan hingga menyebabkan kejadian tragis itu.

“Pihak jabatan menetapkan peraturan bagi kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di setiap sekolah termasuk waktu dan situasi yang bersesuai­an.

“Perkara ini yang kita mahu siasat sama ada kontraktor terlibat mendapat kebenaran atau sebaliknya,” katanya.