Video Oleh FARABI SAID AL JABRI

“Saya tidak tahu bagaimana hendak memberitahu dua anak saya mengenai kejadian ini,” kata Mohd. Rizal Mat Desa, 31.
Mohd. Rizal berkata, isterinya tiba di sungai itu kira-kira pukul 2 petang sebelum dia tiba di lokasi sama sejam selepas itu.

Menurutnya, ketika kejadian dia sempat berpaut di dahan pokok dan memegang tangan isterinya sebelum terlepas daripada genggaman akibat arus deras.

“Saya sayangkan awak. Itu yang dia nyatakan kepada saya sebelum terlepas daripada genggaman dan dibawa arus deras se­tinggi tujuh meter.

“Saya cuba untuk menyelamatkannya tetapi arus sungai terlalu deras namun tidak berjaya sambil melihat tangan isteri terkapai-kapai kelemasan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, bapa saudara mangsa yang turut kehilangan isterinya dalam kejadian tersebut, Syamsul Azhar, 32, berkata, dia tidak menyangka percutian sempena Tahun Baharu Cina menjadi igauan ngeri buat dirinya.

Kata beliau, isterinya, Jaleha Hashim, 53, turut lemas ketika cuba menyelamatkan diri selepas melihat arus deras ketika memancing di lokasi kejadian.

“Saya hanya sempat mencampakkan alat-alat pancing untuk naik ke atas namun dia tidak sempat melarikan diri selepas dibawa arus deras,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden S. Somu memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar pukul 6 petang, sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Kira-kira sembilan mangsa di­ha­nyutkan arus deras dan setakat ini, hanya tiga lelaki berjaya menyelamatkan diri dan telah membuat laporan polis.

“Kira-kira pukul 9.53 malam pa­sukan menyelamat berjaya menemukan seorang mangsa yang maut akibat lemas dan belum dikenal pasti identitinya. Kita sedang berusaha mencari empat lagi mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan dua lelaki termasuk seorang remaja dan dua wanita yang masing-masing dalam lingkungan umur 14 hingga 48 tahun,” katanya.

Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan 60 orang melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela.