Nurul Amelia Amran, 24, yang dalam perjalanan dari Kuala Kangsar ke Ipoh berkata, suara itu didengarinya sewaktu dia memandu kereta bersebelahan dengan kereta yang sedang terbakar dari arah bertentangan.

Menurutnya, dia sempat merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbitnya dan kemudian berhenti di bahu jalan berhampiran tempat kejadian.

“Saya terdengar bunyi dentuman kuat dan tidak berapa lama kemudian saya lihat sebuah kereta terbakar selepas diseret sebuah treler.

“Saya serta pengguna jalan raya yang lain tidak mampu berbuat apa-apa kerana api marak terlalu cepat dan bahang terlalu panas,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini.

Lima sekeluarga termasuk seorang bayi rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar setelah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 255.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora hari ini.

Setakat ini identiti mangsa belum diperoleh. - UTUSAN ONLINE