TANGKAP layar daripada rakaman video tular kejadian remaja maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh PPR Seksyen 8, Kota Damansara, Petaling Jaya Selangor hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, pihaknya menerima laporan dibuat bapa mangsa berusia 48 tahun pada pukul 7.47 petang memaklumkan anaknya jatuh dari tingkat tujuh PPR berkenaan.

“Dalam laporannya, bapa mangsa berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 7 petang ketika dia baru pulang dari tempat kerja.

“Mangsa yang berusia 15 tahun mengadu sakit kepala, dan bapanya menyuruh dia tidur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat ketika sedang berada di dalam bilik air,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Zani berkata, pengadu terus berlari ke bawah untuk mendapatkan anaknya selepas diberitahu isteri yang remaja terbabit telah jatuh.

Menurutnya, pengadu terus membawa mangsa ke Hospital Sungai Buloh, namun dia disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas.

“Pengadu juga memaklumkan mangsa mengalami demam sejak tiga hari lepas.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya. - UTUSAN ONLINE