Video Oleh LOKMAN HAKIEM ABD. SAMAD

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mang­sa, Nor Azrul Ahmad 37, dan isterinya, Mira Ezfa Abd. Rasih, 25, sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di pusat beli-belah, Ampang Point dekat sini.

Menurut Mira Ezfa, ketika dalam perjalanan melalui laluan berkenaan tiba-tiba sebatang pokok tumbang menyebabkan mereka tidak sempat mengelak lalu melanggar pokok tersebut.

“Kejadian berlaku begitu pantas. Kami dalam perjalanan ke tempat kerja dengan kea­daan jalan raya yang sesak dan tiba-tiba sebatang pokok tumbang menyebabkan suami saya tidak sempat mengelak.

“Ini dugaan besar buat saya dan suami kerana kami baru sahaja melangsungkan perkahwinan malam tadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mira Ezfa, selepas kejadian itu dia dan suami dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan lanjut.

“Suami kini berada di wad kecemasan zon merah kerana kecederaan di bahagian kepala. Setakat ini doktor memaklumkan keadaannya stabil tapi tidak sedarkan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman berkata, pihaknya mene­rima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 7.30 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dan BBP Titiwangsa dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba, kita dapati pokok tersebut menghempap sebuah kereta dan motosikal yang lalu di jalan tersebut.

“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan. Bagaimanapun penunggang dan pembonceng cedera manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.