Video oleh IHSAN BOMBA

Mangsa, Stanley Kho, 22, mem­beritahu, dia bertemu seorang ‘gadis cantik’ ketika sedang mendaki gunung berkenaan.

Menurutnya, ‘gadis’ berkena­an telah menghulurkan sekuntum bunga dan membawanya pergi ke satu tempat yang tidak diketahui.

“Saya mengikutinya berjalan dan saya seperti berada di tempat lain,” katanya kepada pemberita selepas ditemukan selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat hari ini.

Ujar Stanley, sepanjang enam hari hilang, dia memang ada terdengar suara orang mencarinya, namun tidak dapat memberi res­pon kerana mulutnya seperti dikunci.

Sementara itu, Penolong Pe­ngarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa ditemukan pada pukul 8 pagi iaitu kira-kira 300 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB).

Jelasnya, mangsa berjaya di­temukan selepas beberapa pen­duduk kampung yang turut serta dalam operasi itu terdengar suaranya meminta bantuan semalam.

“Orang kampung kemudian memaklumkan maklumat itu kepada pasukan penyelamat dan usaha menjejaki mangsa dilakukan berdasarkan kepada kesan tapak kasut dan rebung yang dipatahkan,” ujarnya.

Tambah Ling Hii, mangsa ditemukan dalam keadaan lemah, kelaparan dan kesejukan kerana hanya berseluar pendek, manakala baju serta telefonnya hilang.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa mula mendaki gunung itu secara bersendirian sebelum dilaporkan hilang pada pukul 8.30 pagi pada keesokannya.

Kehilangan mangsa disedari rakan-rakannya yang ternampak kereta Stanley di kaki gunung berkenaan dan mangsa juga sempat menghubungi rakannya menerusi aplikasi WeChat sebelum itu.