Ibu Allahyarham, Kasma Mat Nor, 58, berkata, kepulangan anak bongsunya dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Rabu lalu sedikit-sebanyak memberi keceriaan dan dia sama sekali tidak menyangka terlalu cepat Mohamad Faisal meninggalkannya.

Katanya, ketika bangun pagi ini, Mohamad Faisal yang tidur di sebelahnya kaku tidak bergerak biarpun dipanggil berkali-kali.

“Bimbang tengok keadaannya saya minta anak lelaki bawa pembantu perubatan Klinik Kesihatan Batu Rakit ke sini dan petugas itu kemudian mengesahkan yang dia sudah tiada.

“Dia belum sempat makan masakan saya sejak balik dan hanya minum susu enam kali sehari. Kali terakhir saya masak untuknya adalah sup sayur ketika baru dimasukkan ke hospital,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad Faisal yang beratnya pernah mencecah sehingga 286 kilogram dengan ke­­­tinggian 165 sentimeter, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya kerana sesak nafas.

Jenazah Mohamad Faisal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mengabang Telipot selepas solat zuhur dengan menggunakan jengkaut.

Kisah pemuda ini menjadi bualan ramai apabila khidmat pi­hak Angkatan Pertahanan Awam terpaksa dipanggil beberapa kali untuk membawanya ke HSNZ dengan menggunakan trak bagi mendapatkan rawatan.

Sebelum ini, dia pernah mendapat bimbingan peribadi daripada seorang jurulatih kecergasan tanpa dikenakan sebarang bayaran bagi merealisasikan impian untuk menurunkan berat badan agar mampu kembali berjalan dan menyambung pelajaran.

Kasma berkata, pemergian Mohamad Faisal merupakan kehilangan besar dan pastinya dia akan merindui telatah anaknya yang gemar mengusik dan membuatkannya ketawa.

“Setiap masa dia ada dengan saya jadi selepas ini memang akan sunyi. Semasa buat kuih untuk meniaga pun dia banyak membantu,” katanya.