Mohamad Faisal Md. Ali, 28, yang beratnya pernah mencecah sehingga 286 kilogram (kg) dengan ketinggian 165 sentimeter menghembuskan nafas terakhir di kediamannya selepas mengalami sesak nafas.

Ibunya, Kasma Md. Nor, 58, berkata, dia hanya menyedari keadaan anaknya pagi ini semasa bangun untuk menunaikan solat Subuh.

“Saya bangun pukul 5 pagi, tengok dia tidak bergerak walaupun selepas dipanggil jadi saya cepat-cepat minta abangnya untuk segera bawa pembantu perubatan klinik ke sini.

“Pembantu perubatan sampai 30 minit kemudian dan mengesahkan Faizal sudah tiada,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Kasma, anak bongsu daripada lapan beradik itu pulang ke rumah Rabu lalu selepas dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini selama dua bulan.

Jenazah Mohamad Faizal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mengabang Telipot selepas solat zuhur.

Kisah pemuda ini menjadi bualan ramai apabila khidmat pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) terpaksa dipanggil beberapa kali untuk membawanya ke HSNZ dengan menggunakan trak setelah memerlukan rawatan intensif. - UTUSAN ONLINE