Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, Nur Erra Ellina Zaharuddin, 24, yang bertugas di Unit Tindakan Imigresen Negeri Sembilan bersama 80 pegawai dan anggota imigresen terlibat dalam operasi memburu PATI di sebuah kilang di Bandar Baru Salak Tinggi di sini.

Beliau berkata, operasi itu dilakukan selepas berakhirnya Program Serah Diri Sukarela (3+1) semalam.

"Pegawai imigresen tersebut terjatuh selepas terpijak papan siling dari ketinggian kira-kira lima meter ketika mengejar salah seorang PATI yang cuba melarikan diri di bahagian siling bangunan tersebut.

"Pegawai tersebut terus dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut dan buat masa ini kita masih menunggu keputusan keputusan x-ray bagi menentukan tahap kecederaannya," katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut di sini.

Mengulas lanjut, katanya, dalam operasi yang bermula pukul 12 tengah hari itu juga seorang lelaki warganegara Bangladesh mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, lelaki tersebut berjaya ditahan bersama pekerja asing lain di kilang tersebut untuk pemeriksaan lanjut. -UTUSAN ONLINE