Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pegawai dan anggota terlibat menggerakkan operasi menyelamat itu seawal pukul 8.30 pagi.

Beliau yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, operasi terbabit diselaraskan oleh Ketua Pengarah MKN, Tan Sri Dr. Zulkifeli Mohd. Zin.

"Saya telah menerima panggilan telefon daripada Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng) memaklumkan mengenai situasi banjir di Pulau Pinang pada pukul 3.34 pagi.

"Serentak itu, saya mengarahkan majlis berkenaan supaya merangka pelan menyelamat dan menghantar bantuan pasukan polis serta tentera untuk menjalankan operasi menyelamat ke Pulau Pinang," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program 1Ekspresi Negaraku Peringkat Negeri Sarawak di Dataran Perayaan, Jalan Stadium, Petra Jaya di sini pagi ini.

Terdahulu, Guan Eng telah menghubungi Ahmad Zahid memohon bantuan kerajaan Pusat khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghulurkan bantuan kecemasan dengan segera kepada penduduk di negeri itu yang terjejas teruk akibat banjir dan tanah runtuh. - UTUSAN ONLINE